Alhamdulillah , pertama dan selama-lamanya syukur dengan limpah rahmat-Nya dapat menghasilkan satu wadah dakwah dan tazkirah hati buat tatapan peribadi. Ya, menyedari hakikat hidup ini perlu perubahan dan kita memerlukan suntikan rohani bagi memantapkan perjalanan hidup di muka bumi ini. Setiap insan pasti bercita-cita ingin perubahan dalam hidupnya yang baik kepada yang lebih baik. Itu adalah fitrah setiap insan. Begitulah dengan diri ini, setelah berkali-kali jatuh, Setelah banyak ujian hidup yang dilalui yang selalunya menemui jalan kegagalan dan kekecewaan pada akhirnya, terdetik pada hati, adakah aku hanya mampu menyerah pada takdir tanpa mencari di mana solusinya pada kekecewaan ini.
Namun setelah Gelap, pasti ada terangnya atau setelah Gelap, terbitlah cerah. Ya Allah terima kasih atas rasa ini. Rasa yang membuatkan aku berubah untuk menuju ke jalanMU. Potret kehidupan ini benar-benar menguji hambaMu yang selalu alpa dengan kenikmatan duniawi. Allah s.w.t telah mencipta pelbagai musim untuk dinikmati oleh manusia. Begitu juga Allah menjadikan kepelbagaian takdir dalam kehidupan kita. Maha suci Allah yang memberikan kemudahan di sebalik setiap kesulitan. Tidak ada yang mustahil di dunia ini. Seberat dan sesulit apapun rintangan yang mengadang, pasti ada jalan dan kemudahan di hadapan setiap ujian. Hujan yang turun pasti berhenti. Badai yang datang menerpa pasti akan berlalu.
Hidup ini adalah perjuangan, perjuangan mencari zat-zat yang tersembunyi. Hidup ini perlukan perubahan agar beroleh ketenangan dalam hidup. Dalam hidup ini juga kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbu salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah ‘syurga dunia’ sebelum syurga akhirat Maka terhasilah medan ini untuk saya mencoret bait-bait kata inspirasi untuk renungan pada diri dan juga dikongsi untuk sahabat-sahabat. Inilah juga pengubat luka dan kekecewaan yang saya andaikan paling mujarab disamping menambah ilmu pengetahuan untuk diri.





No comments:
Post a Comment