Nikmat Allah

Tuesday 23 August 2011

PESAN BUAT SAHABAT-SAHABAT PENULIS


Alhamdulillah, walaupun saya tidak kaya harta tetapi kaya sahabat. Sahabat pun tidak ramai, tetapi syukur, yang setia dan seiya sekata terus ada.
Ya, saya punya ramai sahabat setia, termasuk  di kalangan penulis dan penggiat media.
Sejak dulu kami sering bertemu, berbincang dan ‘berusrah’ walaupun masing-masing mempunyai syarikat atau organisasi yang berlainan.
 Seperti mereka, saya sangat suka menulis dan berkongsi idea dengan sahabat-sahabat di kalangan penulis yang mempunyai fikrah dan cita-cita yang sama – berdakwah dan mendidik diri dan masyarakat. Untuk menyebut nama mereka, terasa malu… kerana ada yang sudah menjadi nama besar dalam penulisan Tanah Air. Tetapi biarlah saya sebutkan beberapa nama…
 Saya masih ingat saudara Ahmad Yani (penulis berprofil dari Karangkraf), sekarang editor majalah I yang sering bertemu pagi, petang, siang dan malam untuk merangka majalah Minda. Alhamdulillah akhirnya Minda dapat diterbitkan dan itulah majalah yang membuka ruang untuk saya menulis kembali setelah beberapa bulan ‘berehat’ di Kamunting. Walaupun kini kami jarang bertemu tetapi dari jauh, kelibat penanya tetap saya ikuti. Saya sering berharap dia akan pergi ‘lebih jauh’ dengan menambah pengalaman dan keaslian dalam tulisannya.
 Begitu juga sahabat rapat saya saudara Zakaria Sungib, ‘orang kuat’ Galeri Ilmu. Dia ialah teman rapat sejak dulu dan hingga kini. Berbincang dengannya, menghidupkan jiwa dan rasa. Dia adalah sahabat yang paling memahami cara dan gaya saya menuangkan pemikiran dan rasa ke dalam tulisan. Saya sangat gembira dan lega sekiranya diberitahu bahawa beliaulah yang akan menyunting buku atau artikel saya. Zakaria, tidak banyak ‘bercakap’ (pendiam) tetapi ayat-ayat yang diraut oleh mata penanya sangat tepat dan tajam.
Dengan Zakaria saya, saya sering meminta dan diminta nasihat. Bila berbual dengannya saya merasa bebas kerana bahang persahabatan yang akrab mampu meleburkan dinding-dinding organisasi yang bernuansa komersil. Kami benar-benar duduk sebagai da’i yang memikirkan hala tuju yang sama walaupun dengan kenderaan yang berbeza. Dan tambah rancak jika sahabat lama saya sejak di IPT, Wan Azmin tumpang sekali. Banyak nostalgia yang masih dalam lipatan kenangan, yang menyebar bau harum sebaik sahaja diadakan pertemuan.
 Saya kagum dengan tenaga muda sewaktu mula-mula saya singgah di Telaga Biru, saudara Rohizir Rais – pemuda yang berani, energetik dan konsisten dengan sikap terus terang dan cinta ilmu. Sewaktu menekuni kerja-kerja ‘membidani’ kelahiran Solusi, saya mendapat bantuan yang begitu besar daripadanya. Apa sahaja yang saya minta dan cadangkan, segera dilaksanakannya.
 Sedikit yang saya tunjukkan, banyak pula yang dia buktikan.   Pemuda yang ‘mudah dibaca’ justeru ketelusan dan kelantangannya. Dia punya potensi besar dan wajar dilepaskan ke gelanggang yang besar. Bersama Rohizir, saya boleh mengeluarkan apa yang telah saya pendam sejak lama untuk dikongsi bersamanya bagi menjelmakan sesuatu ‘out put’ dan ‘out come’ yang baru dan segar.
Bila dia hijrah ke PTS, saya yakin dia akan menjadi lebih ‘besar’ dan terbukti itu benar-benar berlaku. Khabarnya dia akan memimpin sebuah majalah baru terbitan PTS. Tahniah. Saya tidak sabar menunggu… hasil kerja oleh minda muda yang lebih bertenaga dan bercahaya. Insya-Allah.
 Tidak lupa ‘adik’ (dia termuda barangkali)  yang menyunting buku saya sejak lama dahulu – Zuraimi Ismail. Bahasanya yang kaya dengan kilas dan hias yang begitu estetika punya masa depan yang sangat cerah jika dia berterusan menghasilkan karya. Dulu pemalu, tetapi kini semakin terserlah kematangannya.
 Saya masih ingat bagaimana semangat saya yang suam-suam kuku sewaktu menulis buku Turki Iktibar Sebuah Empayar, kembali membara dan akhirnya menyala apabila mendapat sentuhan suntingan Zuraimi. Dia sesungguhnya, boleh mewariskan hasil kerja yang besar dan itu telah pun terbukti kini apabila buku-bukunya (terbitan Galeri Ilmu)  mendapat sambutan yang hangat. Syabas adik ku!
 Masih ramai sahabat-sahabat yang rapat dikalangan media yang tidak dapat saya tuliskan semuanya di sini. Ada di antaranya yang menjadi begitu terkenal sehingga saya segan untuk menulis nama mereka di sini. Tetapi saya yakin, mereka tetap sahabat saya… walaupun jarang berjumpa, tetapi tetap ‘bertemu’ pada satu titik perjuangan yang sama. Mudah-mudahan kita menulis bukan kerana nama dan harta… tetapi kerana ingin memperbaiki diri sendiri dan orang lain, kerana Allah yang esa!
 Alhamdulillah, saya menyaksikan bagaimana mereka bermula, menapak dan akhirnya mula menjulang tinggi. Insya-Allah, saya akan menulis ilmu-ilmu yang sering kami bincangkan tentang penulisan suatu hari nanti. Ramai dikalangan mereka yang mengatakan saya sebagai guru penulisan mereka – tetapi TIDAK, sayalah yang sebenarnya banyak belajar daripada mereka. Sebaik sahaja selesai bertemu pada satu satu ketika, banyak yang catatkan input-input yang bernas daripada mereka. Lalu layakkah saya yang mereka anggap sebagai guru? Tidak, tapi mereka semualah guru saya.
 Kini ramai sahabat-sahabat yang dulunya hanya ‘penulis’ tidak bernama muncul dengan nama masing-masing. Buku-bukunya mula mercup tumbuh mewarnai alam pemikiran Melayu-Islam Tanah Air. Dan ada pula yang mengetuai majalah-majalah Islam sama ada telah terbit ataupun akan terbit. Saya masih di Solusi, tetapi hati saya masih bersama-sama dengan sahabat yang mempunyai visi dan misi yang lebih sama. Biarlah banyak persatuan asalkan tetap SATU kesatuan. Berbeza tidak mengapa, asalkan yang berbeza itu jalan bukan TUJUAN.
 Saya mengalu-alukan majalah baru, buku baru, media baru daripada semua pihak. Dan saya tidak akan membataskan ufuk pemikiran untuk berjuang di bawah satu bumbung dengan kongkongan birokrasi dan agenda-agenda sempit berbentuk personal yang terhad dan tersekat sifatnya. Saya yakin sahabat-sahabat juga begitu… usia semakin dekat menuju ajal, masih sedikit kita berbekal, lalu mengapakah kita harus tega dirantai oleh sistem yang dimanipulasi dan dieksploitasi?
 Jika kita ikhlas di pangkal, tetapi mungkin melencong dan melelong di tengahnya… namun pasti kita kembali lurus kerana kekuatan dan ketepatan niat yang di awal dan ‘di asal’. Hukum daya tarikan akan berlaku. Hati-hati yang ikhlas akan bersatu, tidak kira dari mana dan di di mana kita berkubu. Penulis adalah pendakwah, pendidik dan pemimpin bagi masyarakat. Dengan syarat dia memimpin dirinya terlebih dahulu.
 Kita menulis untuk menghasilkan ‘best seller’ tetapi dengan pengertian yang berbeza. Bukan kerana jumlah cetakan atau kutipan wang royalti… tetapi seperti kata Dr. Aid Al Qarni, bila ada seorang insan yang berubah ke arah Islam dan sudi pula mendoakan kita. Itulah ‘best seller’ pada pengertian kita.
 Sejak menulis dan diamanahkan untuk menjadi Ketua Editor Solusi, saya secara peribadi telah memberi pesan. Pesan yang saya titipkan dalam Salam editor edisi kedua atas kebimbangan dan harapan. Pada waktu itu, saya seakan-akan terbayang perpaduan dan ukhwah yang bakal teruji nanti.
Saya bimbang sekiranya saya dan sahabat-sahabat tidak pandai ‘menguruskan’ kejayaan – dalam hidup atau pun dalam karier, lalu.. bakal terjadi pertembungan sesama sendiri yang merugikan. Saya tersentuh apabila membaca pesan Allahyarhamah Dr. Lo’ Lo’ kepada Dr. Asri Zainal Abidin (yang dipaparkan dalam majalah Sinar dan dalam blog Dr. Asri). Sesungguhnya, dia mengingatkan dengan ikhlas akan ‘golongan’ agama yang bakal teruji dengan dunia dan nama! (Al Fatehah…)
 Akibatnya, kita akan kehilangan sesuatu yang lebih berharga berbanding dengan apa yang kita dapat. Saya tidak pandai menukilkan Al Quran dan Al Hadis, wahyu atau sabda… Saya berpesan seadanya, dalam bahasa mudah tetapi semoga disingkap dengan hati dan berhati-hati. Pesan saya sewaktu itu dalam Salam Editor majalah Solusi edisi ke-2 (sekarang Solusi telah sampai ke edisi 34)…
SINERGIKAN AKAL DAN HATI       
 Sering-seringlah bertanya kepada akal sendiri, apa yang kita diperjuangkan? Mungkin akal akan menjawab, “aku memperjuangkan Islam.”  Kemudian,  tanyakan soalan yang sama kepada hati. Jika jawab hati (tentulah dengan sejujur-jujurnya), ”aku ingin memperjuangkan Islam,” maka ketika hati dan akal telah pun bersatu.  Bila hati dan akal bersatu maka barulah kita punya matlamat yang tepat dan jelas.
 Dan jika ada pihak lain yang juga punya akal dan hatinya telah bersatu, maka akan mudahlah terbentuk kerjasama antara kita dengan mereka. Kerjasama itu akan harmoni atas dasar kesatuan matlamat.
 Tetapi sekiranya, kerjasama sukar dibentuk atau kerjasama itu sering bermasalah, itu petanda matlamat antara kita dan mereka sudah berbeza. Puncanya? Hati dan akal sesama kita masih belum bersatu. Mungkin hanya ’akal’ yang berkata, ”aku memperjuangkan Islam,” tetapi hakikatnya hati memperjuangkan yang lain.
 Hakikat ini ingin saya kaitkan dengan usaha semua pihak memperjuangkan ’produk-produk’ dakwah Islamiah seperti kursus, program latihan, ceramah-ceramah, buku-buku, majalah dan lain-lain-lain… Produk dakwah wajar dibezakan dengan produk yang bukan dakwah yang sama-sama sedang ‘meriah’ di tengah masyarakat masa kini.
 Para penceramah, pemilik syarikat dan aktivist produk dakwah Islamiah wajib mengutamakan ’tujuan’ mengatasi ’keperluan’. Apakah tujuan para pendakwah (penulis, penceramah, motivator, pemilik syarikat) dengan produk dakwah Islamiahnya itu? Tidak lain tidak bukan hanyalah  untuk mencari keredhaan Allah – yakni mengajak orang kepada tauhid, syariat dan akhlak Islamiah.
 Lalu apakah pula keperluan mereka? Ya, sebagai manusia biasa pendakwah juga perlukan wang, gaji dan keuntungan untuk menjalani kehidupan.
 Namun, perlu diingat tujuan (keredhaan Allah) mesti sentiasa mengatasi keperluan (gaji, keuntungan dan ganjaran). Jangan berlaku sebaliknya. Jika berlaku sebaliknya,marilah kita jadikan firman Allah ini sebagai amaran:
”Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit…” An Nahl 95.
 Ingatlah, keredhaan Allah bertunjangkan tujuan itulah ’content’. Manakala keuntungan material bertunjangkan keperluan itulah ’container’. Jadilah pejuang yang sentiasa mengutamakan tujuan berbanding keperluan – ertinya, perjuangkanlah ’content’ bukan ’container’. ’
 Apa itu ‘content’? Dan apa itu ‘container’?
 Content’ perjuangan kita ialah Islam, manakala  ’container’ ialah kumpulan, organisasi atau syarikat di mana kita berada atau kita miliki. ’Content’ perjuangan kita mesti satu dan sama, tetapi ’container’ kita boleh banyak dan berbeza.
 Jika ini benar-benar kita hayati, maka antara kumpulan-kumpulan atau syarikat-syarikat yang mempunyai ’content’ yang sama akan mudah bekerjasama. Mengapa? Kerana masing-masing meletakkan kepentingan ’content’(tujuan) mengatasi ’container’ (keperluan).
 Tidak ada lagi ’taksub’ kumpulan, syarikat atau obsesi diri. Menghenyak orang lain untuk melonjak diri sendiri.  Kita sentiasa yakin bahawa Islam tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana kumpulan. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa bahawa dia sahaja ’satu-satunya’ pejuang Islam yang sejati dan terbaik.
 Marilah kita sinergikan akal hati dalam diri sebagai langkah utama dan pertama dalam kerjasama dakwah di tengah ummah. Kalau hati dan akal sudah bersatu maka kita akan mudah bekerjasama melangkaui batas kumpulan, puak atau organisasi!
PAHROL MOHD JUOI

Friday 19 August 2011

BuatMu – Sya’ir al-Imam as-Syafi’e



إلـيــك إلـــه الـخـلـق أرفــــع رغـبـتــي
BuatMu, Tuhan segala makhluk, ku persembahkan harapanku
وإن كـنـتُ يــا ذا الـمــن والـجــود مـجـرمـا
Sekalipun aku seorang pendosa, wahai Maha Pemberi dan Pemurah
ولـمــا قـســا قـلـبـي وضـاقــت مـذاهـبــي
Tatkala keras hatiku dan sempit jalan hidupku
جـعـلـت الـرجــا مـنــي لـعـفـوك سـلـمــا
Ku jadikan sendu rayuku manifestasi keampunanMu
فـمـا زلــتَ ذا عـفـو عــن الـذنـب لــم تـزل
Selamanya masih Engkau sahaja yang mengampuni dosa yang tidak terhapus ini
تــجــود و تـعــفــو مــنـــة وتـكــرّمــا
Kasih dan ampunanMu adalah kurnia dan kasih sayangMu
***
ألــســت الـّـــذي غـذيـتـنـي وهـديـتـنــي
Bukankah Engkau yang memberiku makan, jua petunjuk?
ولا زلــــت مـنـانــا عــلـــيّ ومـنـعـمــا
Selamanya masih Engkau yang memberi anugerah dan nikmat kepadaku
عـسـى مــن لــه الإحـســان يـغـفـر زلـّتــي
Moga Yang Maha Memiliki Ihsan mengampunkan kegelinciranku
ويـسـتــر أوزاري ومــــا قــــد تـقــدّمــا
Dan menutup dosa-dosaku dan setiap yang telah lalu
فــإن تـعـف عـنــّي تـعــف عـــن مـتـمـرّد
Andai Engkau ampunkan daku, ampunkan jua semua kederhakaanku
ظــلــوم غــشــوم لا يــزايـــل مـأتــمــا
Aku yang zalim dan degil, tak terpisah dari dosa
و إن تنـتـقـم مــنــّي فـلـســت بـئايــس
Dan jika Engkau menghukumku, tidak akan ku berputus asa
ولـــو أدخـلــوا نـفـسـي بـجــرم جـهـنـّمـا
Walau semua manusia mencampakkan diriku kerna salahku ke dalam neraka
***
فصيـحـا إذا مــا كــان فـــي ذكـــر ربـــه
Lidah masih fasih pada detik mengingati Tuhannya
وفيما سواه في الورى كان أعجما
Bila bersama selainNya  ia jadi terasing
يـقــول : حبـيـبـي أنـــت سـؤلــي وبغـيـتـي
Ia berkata : Kekasihku, hanya Dikau pinta dan mintaku
كـفــى بـــك للـرّاجـيـن ســـؤلا ومـغـنـمـا
Cukuplah Engkau buat yang menagih harapan dan ganjaran
أصـــــون ودادي أن يـدنــســه الـــهـــوى
Kupelihara kasihku yang telah dikotori nafsu
وأحــفــظ عــهــد الــحـــبّ أن يـتـثـلـّمـا
Akan kujaga janji kasih yang telah tercalar
فـفـي يقظـتـي شــوق وفــي غـفـوتـي مـنــى
Tika jaga ku rindu, tika lelap ku berharap
تــلاحــق خــطــوي نــشــوة وتـرنــّمــا
Langkahku diiringi semangat dan irama,
فـجـرمـي عـظـيـم مـــن قـديــم وحــــادث
Dosa-dosaku besar dari dulu hingga kini
وعـفــوك يـأتــي الـعـبـد أعـلــى وأجـسـمـا
Tapi keampunanMu pada sang hamba, meninggikannya dan memuliakan
                                                                                         

Saturday 23 July 2011

Sejenak kita fikirkan

Di sana (yakni pada nota hati anda sendiri) pasti lebih banyak kisah yang lebih dekat dan "melekat" dengan kita sendiri. Sudah tiba masanya kita menjadi guru kepada diri sendiri! Membaca kisah sediri tentunya lebih menarik daripada membaca kisah orang lain. Tetapi kali ini, berilah peluang kepada  "hati kecil" untuk mendominasikan "hati besar" kita. Kita boleh menipu orang lain, tetapi mampukah kita menipu Allah dan menipu diri sendiri?

Sungguh pun begitu, tidak salah melihat diri sendiri melalui kaca mataorang lain. Kekadanng sesuatu yang kabur bukan terlalu jauh, tetapi kerana terlalu dekat. Dan biasa terjadi sesuatu tidak dapat melihat bukan kerana terlalu gelap tetapi terlalu terang. Bak kelawar yang tidak dapat melihat siang, bukan kerana redupnya mentari tetapi kerana upayanya mata sendiri.

Mengerakkan diri anda "membaca" kisah-kisah sendiri, orang lain dan segala yang berlaku di sekeliling kita. Dan tulislah sekeping nota hati yang khusus tentang itu dalam sanubari yang paling tulus dan suci. Dengar cercaan "musuh" ambil teguran sahabat dan bergaul dengan masyarakat - itu antara pesan Imam Ghazali untuk mengetahui aib diri sendiri.

Katakan pada diri, jika tak sanggup mengharungi laut kelelahan, jangan diharap seraut kejayaan. Kita tidak akan dapat menjangkau rahsia mutiara jika tak berani menyelami samudera. Berani untuk kalah. Ingat selalu bahawa kekalahan hakikatnya adalah kemenangan yang ditangguhkan.

Berharap, kisah-kisah itu mengubah cara kita berfikir, merasa dan bertindak kerana fikiran mampu menukat impian menjadi wawasan. Kemudian hati menterjemah wawasan menjadi keazaman mencipta kenyataan. Justeru selepas ini mudah-mudahan kita akan dapat memiliki kemurnian hati, kecerdasan fikiran dan ketangkasan tindakan.



Sekadar berkongsi Tazkirah dan tulisan membangun dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi